Rabu, 31 Disember 2014

Status 31 Disember 2014

Sehingga 31 Disember 2014, kerja-kerja mengikat batu-bata, memasang frame dan beam atas masih berjalan seperti biasa. Faktor-faktor kewangan dan cuaca mempengaruhi projek pembinaan ini yang telah mencecah 58 hari.




Sabtu, 20 Disember 2014

Frame Kayu Seraya

Tempahan Frame Kayu Seraya ini dibuat sekitar Wakaf Che Yeh, Kota Bharu pada 29 November 2014, manakala frame ini diambil pada 21 Disember 2014 menggunakan lori dengan kos tambang RM450. Kos bagi keseluruhan frame ini berjumlah RM5550. Perincian kepada frame yang ditempah adalah seperti gambar di bawah.

*Harga 1' kayu seraya bersamaan RM 7.30 kecuali bagi frame berpagar dan frame L


Rabu, 17 Disember 2014

Mengikat Batu Bata

Buat permulaan sebanyak 3500 biji batu-bata dibeli dengan harga RM0.34 sebiji (ambil sendiri) di Lingai Bata Sdn Bhd. menggunakan lori yang disewa dengan harga tambang RM110 satu trip. Kerja-kerja permulaan mengikat batu-bata ini bermula pada 14 Disember 2014 dan selesai pada 17 Disember 2014. Sebanyak 12000 biji batu-bata dijangka akan digunakan bagi projek pembinaan rumah ini.





Khamis, 11 Disember 2014

Pasir Dalam Ground Beam

Kerja-kerja memasukkan pasir ke dalam ground beam dilakukan pada 11 Disember 2014 bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 4.00 petang dengan kos sewaan sebanyak RM400 sehari. Sebanyak 12 lori pasir dibeli dengan harga RM170 selori, namun hanya 11 lori pasir sahaja dimuatkan ke dalam ground beam.

Selain dari kerja-kerja memasukkan pasir ke dalam ground beam dilakukan, backhoe juga melakukan kerja-kerja menggali lubang ground beam tambahan di dalam tanah, mengalihkan mesin pembancuh simen, meratakan lebihan pasir dan mengalihkan lebihan batu aggregate bagi membolehkan kedudukan mesin dan pasir lebih sesuai dan mudah untuk berkerja.


Rabu, 3 Disember 2014

Status Pinjaman : Lulus

Alhamdulillah...Genap sebulan projek pembinaan rumah ini dilaksanakan, pinjaman perumahan telah LULUS. Surat setuju terima juga ditandatangani dan telah dipos pada hari yang sama.

Ahad, 30 November 2014

Ground Beam

Kerja-kerja foamwork dilaksanakan bermula pada 23 November 2014 setelah bercuti selama 2 hari manakala kerja-kerja membina ground beam bermula pada 25 November 2014 dengan tahap kesiapan sebanyak 40% sehingga 30 November 2014. Kerja-kerja membina ground beam ini juga dilaksanakan serentak dengan tiang rumah dan dijangka selesai dalam tempoh seminggu lagi memandangkan plywood yang dibeli dalam kuantiti terhad iaitu sebanyak 20 keping sahaja. Kepingan foamwork juga disapu dengan minyak silinder hitam terpakai bertujuan menjaga permukaan plywood.




Rabu, 26 November 2014

Status Pinjaman : Kuiri

Semakan di laman web BPP pada 24 November 2014 mendapati, status pinjaman masih dikuiri disebabkan laporan penilaian dari JPPH belum selesai. Dokumen yang dihantar pada 5 November ke pejabat peguam diterima pada 18 November 2014 di JPPH iaitu hampir 2 minggu disimpan di pejabat peguam. Semakan semula di laman web JPPH pada 26 November 2014 mendapati proses penilaian telah siap yang mengambil masa selama 8 hari di peringkat JPPH dan mengambil masa 5 hari bekerja untuk diemelkan ke pihak BPP.




Rabu, 19 November 2014

Menimbus Tanah

Kerja-kerja menimbus kembali tanah ke dalam lubang pad footing selesai dilakukan dalam masa 1 hari.


Selasa, 18 November 2014

Tiang Stumb

Sebanyak 29 tiang stumb dapat disiapkan dalam tempoh 2 hari.



Ahad, 16 November 2014

Pad Footing

Antara 33 pad footing yang telah disiapkan dalam tempoh 6 hari walaupun hujan melanda dalam tempoh seminggu. Kotak-kotak pad footing terpaksa dibuat menggunakan kayu bersaiz 1"x8" memandangkan struktur tanah yang lembut dan mudah runtuh.






Selasa, 11 November 2014

Kerja-Kerja Besi

Sebanyak 33 set besi untuk pad footing dan tiang stumb diikat untuk diletakkan ke dalam lubang yang telah digali. Besi untuk pad footing dibuat mengikut saiz antara 3-4 kaki lebar. Buat permulaan, besi Y12 dibeli sebanyak 1 tan dengan harga RM2350, manakala beri link R4 dibeli sebanyak 50 batang dengan harga RM5.50 sebatang.

*1 tan besi Y12 = 96 batang x 40 kaki panjang
*1 batang besi link R4 = 40 kaki panjang



Boring Air

11 November 2014 - Kerja-kerja boring air ini dilaksanakan seawal jam 9.00 pagi dan selesai pada jam 4.00 petang. Paip putih ditanam pada kedalaman lebih kurang 32 kaki. Kos upah berserta barang-barang paip untuk kerja ini berjumlah RM450 manakala kos pembelian mesin untuk menyedut air berjumlah RM160.


Sabtu, 8 November 2014

Mengorek Lubang

8 November 2014 - Penandaan kedudukan pad footing perlu dilakukan semula pada hari Khamis, 6 November 2014 kerana kedudukan batu sempadan tanah beralih yang berkemungkinan ditolak oleh backhoe semasa menambun jalan masuk. Sebelum kerja-kerja mengorek 34 lubang pad footing sedalam 3-4 kaki dilakukan, backhoe terlebih dahulu membersihkan pokok-pokok di sekeliling kawasan tapak serta membetulkan laluan jalan manakala kerja-kerja mengorek lubang ini dilaksanakan pada jam 12.00 tengahari dan memakan masa hanya 3 jam, namun bayaran backhoe ini dikira sebagai sehari iaitu RM400.


Selasa, 4 November 2014

Projek Bermula

Tanggal 4 November 2014 (Selasa), projek pembinaan rumah ini bermula sebaik sahaja barang-barang asas telah dibeli sehari sebelumnya. Stor tempat menyimpan peralatan kerja dan tempat tinggal pekerja telah dibina dan siap dalam masa 1 hari sahaja. Kerja-kerja side rail untuk menentukan kedudukan tapak rumah dilaksanakan pada keesokan harinya. Projek ini dilaksanakan lebih awal iaitu sebelum pinjaman perumahan diluluskan setelah mendapat lampu hijau secara lisan dari Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta (JPPH). Ini kerana atas faktor cuaca (musim tengkujuh) yang kebiasaannya melanda pada setiap akhir tahun.


Ahad, 19 Oktober 2014

Pinjaman Perumahan BPP

Permohonan Pinjaman Perumahan telah diisi secara online pada 19 Oktober 2014 beserta bayaran wang proses sebanyak RM100 yang telah dibuat melalui Maybank2u. Dalam masa yang sama, semua dokumen berpandukan senarai semak disediakan sebanyak 4 salinan termasuklah perjanjian membina rumah yang dibuat menerusi peguam. Kos yang terlibat semasa urusan peguam adalah seperti berikut :
  • Buka Fail - RM300
  • Setem Perjanjian - RM280 (Asal) *(0.1% dari jumlah pinjaman)
  • Setem Perjanjian - RM20 (Salinan)
  • Yuran Guaman - Rujuk Jadual Di Bawah



Isnin, 22 September 2014

Menambun Jalan Masuk

Permohonan menambun jalan dengan batu kisaran menerusi Pejabat ADUN telah diluluskan. Jalan masuk ke tapak pembinaan rumah ini ditambun dengan batu kisaran setinggi 6 inci sejauh 213 meter hanya dalam masa 3-4 hari sahaja.




Rabu, 30 Julai 2014

Menambun Tanah

Kerja-kerja menambun tanah setinggi 1 kaki telah dilakukan pada awal bulan Julai dan siap dalam tempoh 2-3 hari sahaja. Kos bagi menambun tanah ini berjumlah RM2800.



Selasa, 1 Julai 2014

Memohon Kelulusan Pelan

Semakan melalui Portal One Stop Center (OSC) menunjukkan tarikh permohonan kelulusan pelan didaftarkan pada 25 Februari 2014 manakala tarikh keputusan Jawatankuasa OSC ialah pada 18 Mac 2014. Namun surat permohonan kelulusan pelan yang diperoleh pada bulan Mei menunjukkan kelulusan didaftarkan pada 23 April 2014, berbeza dengan paparan di dalam Portal OSC.