Cat dinding dalam rumah ini juga menggunakan cat jenama Jotun Majestic. Warna-warna yang dipilih adalah seperti gambar di bawah. Kerja-kerja mengecat dinding dalam rumah ini dilakukan bersama adik sendiri pada masa terluang. Berikut adalah status gambar terkini pembinaan rumah Mahligai Idaman.
Jumaat, 18 Disember 2015
Tingkap & Pintu
Daun-daun tingkap dan sebahagian pintu yang ditempah dari bengkel kayu di Machang, Kelantan pada 19 Oktober 2015 telah siap dan diambil pada 13 Disember 2015, iaitu hampir dua bulan menunggu getah kayu kering dikala musim hujan. Sementara menunggu tukang memasang pada hujung minggu, daun-daun tingkap dan pintu ini divarnish satu lapisan terlebih dahulu bagi memudahkan kerja-kerja varnish pada lapisan kedua nanti.
Sabtu, 14 November 2015
Status Pemasangan Tiles
Kerja-kerja pemasangan tiles pada ketika ini telah memasuki minggu ketiga. Kerja-kerja ini dijangka selesai dalam tempoh 2 minggu lagi. Kos keseluruhan bagi pemasangan tiles ini berjumlah RM8100.
Ahad, 8 November 2015
Status 8 November 2015
Sehingga 8 November 2015, kerja-kerja pembinaan pagar rumah giat dilaksanakan. Mengikut jangkaan, pada 15 November 2015, pagar akan siap diplaster.
Khamis, 5 November 2015
Tanah Untuk Jalan
Sementara pagar yang dibina menutupi keseluruhan kawasan rumah, jalan dihadapan rumah ditambun dengan tanah dan batu kasaran bagi memudahkan laluan kenderaan. Sebanyak 4 lori tanah dan 1 lori batu kasaran 14 tan digunakan untuk menambun jalan setinggi 1-2 kaki, selebar 10-12 kaki dan sepanjang 90 kaki. Kos bagi selori tanah ialah RM70 manakala bagi setan batu kasaran ialah RM26. Sewa case selama 4 jam pula berjumlah RM220.
Isnin, 2 November 2015
Membina Pagar Rumah
Bagi mengelak dari musim tengkujuh melanda pada awal bulan ini, kerja-kerja pembinaan pagar dibuat segera bermula pada 28 Oktober 2015. Sebanyak 10000 biji bata dijangka akan digunakan dalam pembinaan pagar ini dengan kos upah RM20 sekaki tidak termasuk pemasangan kayu di atas pagar dan mengecat pagar.
Pemasangan Tiles
Pemasangan tiles bermula pada 27 Oktober 2015 dimulakan dengan pemasangan pada dinding tandas terlebih dahulu. Upah pemasangan tiles bagi dinding dan lantai tandas dikira secara lumpsum. Anggaran harga yang diberi antara RM580 sehingga RM780 bagi sebuah tandas manakala upah pemasangan tiles bagi lantai lain-lain ruang ialah RM1.60 sekaki persegi. Spesifikasi tiles dinding dan lantai adalah seperti di bawah. Setakat 2 November 2015, pemasangan tiles adalah seperti berikut :
- Dinding Dapur - Guocera 1'x2' - RM6.90 (Biasa) / RM10.50 (Decor)
- Dinding Tandas 1 - White Horse 10"x30" - RM8.80 (Biasa) / RM12.50 (Decor)
- Dinding Tandas 2 - Guocera 1'x2' - RM6.90 (Biasa) / RM10.50 (Decor)
- Dinding Tandas 3 - Prestige 10"x13" - RM2.20 (Hitam/Putih)
- Lantai Tandas 1 - White Horse 1'x2' - RM5.50
- Lantai Tandas 2 - Guocera 1'x2' - RM5.70
- Lantai Tandas 3 - Venus 1'x1' - RM1.80
- Lantai Rumah - Venus 2'x2' - RM9.80
- Porch - Venus 1'x1' - RM2.50 (Hitam/Oren)
Ahad, 25 Oktober 2015
Cat Dinding Luar
Cat dinding luar rumah ini menggunakan cat jenama Jotun. Warna utama ialah Old Cream, manakala warna kedua pula ialah Muesli. Untuk bendul pula menggunakan cat bewarna putih. Kos upah bagi mengecat dinding luar rumah ini berjumlah lebih kurang RM500 manakala kos pembelian cat adalah seperti berikut :
- Cat Old Cream 20L - RM295
- Cat Muesli 5L - RM133
- Cat Putih 5L - RM150
- Berus & Roller - Sedia ada
Kabinet Dapur
Pada 24 Oktober 2014, dengan upah RM300, dua buah kabinet berukuran 30 kaki panjang dapat disiapkan dalam masa sehari menggunakan khidmat tukang Kemboja. Kabinet ini dikonkrit dan dipasang dengan 4 batang besi Y10. Kos bahan bagi membina kabinet ini berjumlah lebih kurang RM200 menggunakan pasir, batu, simen dengan tambahan pembelian dawai, besi Y10 dan paku simen sahaja manakala plywood dan kayu menggunakan yang sedia ada.
Simen Render Lantai
Lantai sedia ada perlu disimen sekali lagi bagi tujuan meratakan permukaan untuk pemasangan tiles. Kerja-kerja ini selesai dilaksanakan pada 21-22 & 25 Oktober 2015 dengan keluasan lantai 2160 kps. Kos upah pula RM0.60 sekaki persegi menjadikan kos keseluruhan upah berjumlah RM1300. Kos simen pula menggunakan lebih kurang 30 beg simen manakala pasir pula menggunakan lebihan pasir sedan yang sedia ada sahaja. Bagi kerja-kerja lantai ini, saya menggunakan khidmat tukang pasang tiles/mosaic.
Selasa, 13 Oktober 2015
Bayaran Kedua Dari BPP
Alhamdulillah...Cek yang ke 80% berjumlah RM98,000 telah diperolehi dan telah dibank in pada hari ini. Penantian sejak 6 Julai 2015 iaitu lebih kurang 3 bulan 1 minggu akhirnya mendapat semangat baru bagi meneruskan misi pembinaan rumah Mahligai Idaman. InsyaAllah, diharapkan fasa akhir ini berjaya disiapkan pada akhir tahun 2015 ini.
Rabu, 30 September 2015
Bayaran Berperingkat
Contoh surat di bawah adalah tuntutan bayaran berperingkat mengikut peratus kesiapan yang dihantar ke pejabat peguam sebelum dimajukan ke JPPH. JPPH juga akan memaklumkan kepada peminjam melalui surat tentang laporan penilaian yang telah dibuat.
Sejak claim ke 80% yang dihantar pada 6 Julai 2015 yang lalu, sehingga kini hampir 3 bulan berlalu, cek masih belum diterima. Proses-proses yang panjang sebeginilah menjadi cabaran kepada individu yang ingin membina kediaman secara sendiri dengan modal pusingan yang lambat diterima seterusnya mempengaruhi tempoh pembinaan rumah.
Sejak claim ke 80% yang dihantar pada 6 Julai 2015 yang lalu, sehingga kini hampir 3 bulan berlalu, cek masih belum diterima. Proses-proses yang panjang sebeginilah menjadi cabaran kepada individu yang ingin membina kediaman secara sendiri dengan modal pusingan yang lambat diterima seterusnya mempengaruhi tempoh pembinaan rumah.
Isnin, 10 Ogos 2015
Cat Alas
Semakan di Seksyen Akaun BPP mendapati, claim progress yang ke 80% masih belum diproses. Sementara menunggu claim tersebut, pada awal bulan Ogos 2015, kerja-kerja diteruskan dengan mengecat alas kesemua dinding rumah dan varnish bahagian kayu di bumbung rumah.
Isnin, 27 Julai 2015
Mengukur Batu Sempadan
Pada 27 Julai 2015, pengukuran batu sempadan tanah dilakukan semula bagi menentukan kedudukan yang tepat sebelum pagar rumah dibina. Sebanyak dua batu sempadan yang baru diletakkan dan kesemua enam batu sempadan diukur semula dengan bayaran sebanyak RM230.
Rabu, 8 Julai 2015
Claim Progress 80%
Pada 6 Julai 2015, claim progress 80% dihantar ke pejabat peguam dan diterima oleh JPPH pada 8 Julai 2015. Proses penilaian pula selesai pada 15 Julai 2015 dan telah diemelkan pada hari yang sama ke BPP. Kerja-kerja seterusnya dijalankan secara perlahan memandangkan kekurangan modal pusingan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Ahad, 5 Julai 2015
Longkang & Kaki Lima
Kerja-kerja berkaitan longkang dan kaki lima bermula pada 20 Jun 2015 dan selesai pada 4 Julai 2015. Sebanyak 100 biji longkang dibeli di kawasan Manir, Kuala Terengganu dengan harga RM4.30 sebiji. Lantai kaki lima dikonkrit dan diletakkan besi BRC A6 supaya lebih kukuh dan tahan lama. Kos upah kerja-kerja longkang dan kaki lima ini berjumlah RM1600.
Langgan:
Catatan (Atom)