Rabu, 30 Julai 2014

Menambun Tanah

Kerja-kerja menambun tanah setinggi 1 kaki telah dilakukan pada awal bulan Julai dan siap dalam tempoh 2-3 hari sahaja. Kos bagi menambun tanah ini berjumlah RM2800.



Selasa, 1 Julai 2014

Memohon Kelulusan Pelan

Semakan melalui Portal One Stop Center (OSC) menunjukkan tarikh permohonan kelulusan pelan didaftarkan pada 25 Februari 2014 manakala tarikh keputusan Jawatankuasa OSC ialah pada 18 Mac 2014. Namun surat permohonan kelulusan pelan yang diperoleh pada bulan Mei menunjukkan kelulusan didaftarkan pada 23 April 2014, berbeza dengan paparan di dalam Portal OSC.


Pelan RC

Sebanyak 34 pad footing dan tiang stumb perlu dibina bagi rumah ini. Kos pelan RC ini juga termasuk dalam kos pelan rumah.




Pelan Rumah

Proses melukis pelan rumah ini bermula pada bulan Disember 2013 dan selesai pada bulan Februari 2014 setelah melalui beberapa pindaan. Submission pelan rumah ke Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dilakukan pada bulan Februari 2014 dan telah diluluskan pada bulan April 2014. Kos bagi melukis pelan rumah sehingga kelulusan pihak MBKT berjumlah RM2800 menggunakan khidmat pelukis pelan sambilan manakala cop dan tandatangan pada pelan rumah menggunakan khidmat pelukis pelan berdaftar. Semua urusan ini dilakukan oleh pelukis pelan sambilan manakala tugas saya hanya berbincang dan draf pelan rumah sehingga ke peringkat akhir, bayar pada pelukis pelan sambilan dan ambil pelan di MBKT.

Pandangan Hadapan
    
Pandangan Belakang
   
Pandangan Sisi Kiri
   
Pandangan Sisi Kanan
   
Pelan Lantai
 

Perancangan

Perancangan membina Mahligai Idaman ini bermula pada awal tahun 2012. Proses bermula dengan melihat contoh-contoh rumah yang dijual di internet dan laman web Mudah.my. Dalam masa yang sama, proses mencari tanah/tapak kediaman yang bersesuaian dilakukan dengan mengambil kira lokasi, jarak, akses jalan dan kemudahan-kemudahan lain seperti sekolah, masjid, klinik dan kedai yang berdekatan.

Alhamdulillah...setahun kemudian, tanah corner lot bersaiz 514 meter persegi telah berjaya dibeli di kawasan Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu dengan harga RM82,000. Kerja-kerja menebang pokok dan membersih tanah juga telah dilakukan oleh pihak penjual. Proses seterusnya ialah memohon dengan individu supaya halangan pada laluan rezab jalan sedia ada dibuka. Atas faktor-faktor tertentu, halangan pada laluan rezab jalan dibuka pada bulan Mac 2014 iaitu setahun selepas pemilikan tanah dilakukan. Dalam tempoh masa yang sama, permohonan menambun tanah untuk laluan rezab jalan dibuat menerusi Pejabat ADUN. Projek pembinaan Mahligai Idaman ini dijangka akan bermula pada awal tahun 2015 setelah selesai kerja-kerja menambun tanah untuk laluan rezab jalan dan perjanjian membina rumah melalui peguam dibuat serta permohonan pinjaman perumahan diluluskan.

Lot 31054 yang berkeluasan 514 meter persegi
  
Draf awal pelan rumah yang dibuat menggunakan Microsoft Excel sebelum dihantar kepada pelukis pelan