Rabu, 30 Mac 2016

Projek Selesai

Dengan pemasangan meter elektrik pada 24 Februari 2016, secara rasminya kerja-kerja pembinaan Mahligai Idaman ini telah selesai dengan jayanya walaupun masih ada kerja-kerja yang belum selesai sepenuhnya kerana dilakukan secara sendiri antaranya varnish pintu-pintu rumah, kerja-kerja melibatkan pagar rumah, kerja tanah dan landskap. Mahligai Idaman ini juga belum dilengkapi dengan kemudahan paip air dari SATU dan hanya menggunakan air boring dalam tanah (telaga tiub).

Pada 5 Mac yang lalu juga telah dibuat majlis sembahyang hajat, azan di setiap penjuru rumah, bacaan Surah Yassin dan Surah Al-Baqarah oleh pelajar-pelajar dari Madrasatul Quran Kubang Bujuk, Manir, Kuala Terengganu, Terengganu. Perpindahan barang-barang juga telah dilaksanakan secara beransur-ansur antara bulan Februari hingga akhir bulan Mac manakala perpindahan secara rasmi ke Mahligai Idaman ini dijangka pada 1 April 2016.

Rabu, 24 Februari 2016

Meter Elektrik TNB

Borang permohonan pemasangan saluran elektrik TNB telah didaftarkan oleh kontraktor pada 28 Januari 2016 manakala pemasangan tiang elektrik TNB sebanyak 6 batang dan sesalur telah dilakukan pada 17 Februari 2016. Setelah selesai bayaran deposit oleh kontraktor, pemasangan meter TNB dibuat keesokkan harinya iaitu pada 24 Februari 2016. Antara kerja-kerja yang belum selesai dilaksanakan dalam pembinaan Mahligai Idaman ini ialah pemasangan paip air SATU dan varnish pintu-pintu rumah serta kerja-kerja melibatkan pagar rumah.

Rabu, 17 Februari 2016

Perkakasan Tandas

Sementara menunggu pemasangan tiang dan meter elektrik TNB, kerja-kerja diteruskan secara sambilan dengan memasang perkakasan tandas seperti paip air hujan, tap, sinki, cermin, penggantung tuala dan lain-lain perkakasan di dalam tandas. Perkakasan ini sebenarnya telah dibeli pada akhir tahun 2015, namun sebahagian darinya diperoleh pada bulan Januari dan Februari 2016 oleh kerana ketiadaan stok dan perlu ditempah yang baru. Pemasangan perkakasan ini juga dilakukan secara sendiri.

Isnin, 25 Januari 2016

Status 25 Januari 2016

Sehingga 25 Januari 2016, kerja-kerja pembinaan rumah ini telah selesai seperti mana gambar-gambar di bawah. Pemasangan daun-daun pintu, tingkap, kunci, penyelak, penyangkut serta pemegang tingkap telah selesai pada 9 Januari 2016 yang lalu dengan kos upah sebanyak RM1550. Bagi pemasangan cermin pula, ianya dipasang dalam masa sehari sahaja iaitu pada 12 Januari 2016 dengan kos berjumlah RM2050 manakala grill besi pula dipasang pada 24 Januari 2016 dengan kos sebanyak RM3100.

Kerja-kerja elektrik pula dimulakan pada 17 Januari 2016 dan selesai pada 25 Januari 2016. Kerja-kerja ini dilakukan pada sebelah malam sahaja pada hari bekerja manakala pada hujung minggu dilakukan sepenuh hari. Kos upah sahaja berjumlah RM5550 manakala kos pembelian 27 switch jenis simon, 55 socket biasa, 4 socket aircond, 3 socket water heater, 1 socket astro, 30 lampu LED 3 step 6" 18 watt, 8 lampu LED downlight kecil 3 watt, 12 lampu T5 4', 1 lampu LED panjang 4' 18 watt, 7 lampu dinding, 3 lampu tiang dan 5 unit kipas berjumlah RM4137.40 menjadikan 53 point lampu, 6 point kipas, 4 point aircond dan 3 point water heater secara keseluruhannya. Bayaran deposit TNB pula berjumlah RM2641 dengan pecahannya ialah deposit 3 fasa RM1200, sesalur RM795, setem hasil RM10 dan tambahan 3 tiang elektrik TNB RM636. Bagi urusan borang, ianya telah termasuk di dalam kos upah elektrik. Pengujian elektrik juga menggunakan elektrik sementara yang dipinjam dari rumah jiran berdekatan.